CRISTIANO Ronaldo memastikan Real Madrid menjadi pasukan pertama mempertahankan trofi Piala Kelab Dunia apabila menjaringkan gol kemenangan kelab gergasi Sepanyol itu ke atas Gremio pada aksi final di Abu Dhabi, awal pagi Ahad. Real Madrid mendominasi keseluruhan perlawanan tetapi bergelut untuk mencipta peluang gol pada babak pertama. Namun Ronaldo akhirnya memecah kebuntuan apabila meledak gol pada minit ke-53 menerusi sepakan percuma. Pemain Real Madrid meraikan kemenangan mereka. Trofi itu sedikit sebanyak melonjak semangat pemain Real Madrid yang bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini. Real Madrid kini akan kembali ke Sepanyol berdepan Barcelona dalam pertembungan El Clasico pada 23 Disember ini. Ia adalah perlawanan penting buat mereka dalam usaha meneruskan buruan gelaran juara La Liga yang disifatkan kebanyakan pihak sebagai sudah tertutup.