PETALING JAYA: Dugaan cuaca sejuk di Nanjing dan berjauhan dengan keluarga bukan halangan buat N.Thanabalan. Penyerang muda skuad Bawah 22 Tahun Negara ini sedang dalam persiapan terakhir sebelum kempen Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bermula 10 Januari. Sebelum ini skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu berada di Korea Selatan menjalani latihan serta perlawanan persahabatan. Pemain tinggi lampai kelahiran Rantau, Negeri Sembilan ini berkata ketika ini dia hanya mahu fokus kepada Piala AFC sahaja. “Sehingga kini persefahaman dengan rakan-rakan pasukan semakin baik. Masing-masing dah faham peranan sendiri. “Bagi saya tidak ada sebarang masalah dan kami menjalani latihan dengan baik walaupun cuaca agak sejuk di sini,” ujarnya kepada mStar Online. Pemain Liga Super Negeri Sembilan itu mengakui keadaannya bukan seratus peratus baik kerana mengalami sedikit kecederaan. “Memang ada kecederaan sedikit di buku lali, tetapi tidak serius kerana setakat ini masih dapat menjalani latihan dengan baik. “Harap dalam tempoh terdekat ini akan pulih. Mengenai perlawanan nanti, saya tidak mahu berfikir lebih jauh kerana yang penting saingan di peringkat kumpulan dulu. “Lebih-lebih lagi perlawanan pertama bertemu Iraq. Penting untuk kami meraih mata,” tambah pemain berusia 22 tahun ini. Namun Thanabalan memberitahu, sebelum aksi bermula mereka akan bertemu Syria bagi sesi perlawanan persahabatan. “Kita satu kumpulan dengan negara-negara Arab. Jadi diharap perlawanan persahabatan nanti kami dapat mengetahui apa-apa kelemahan yang ada.” Dalam pada itu, Thanabalan tidak lupa untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018 kepada semua penyokong-penyokong bola sepak tanah air. “Azam saya tahun ini sudah tentu ingin mempamerkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun lalu. “Saya ingin membantu pasukan Malaysia dan Negeri Sembilan mencapai keputusan yang baik,” ujar bekas pemain Felcra FC ini. Malaysia diundi berada dalam Kumpulan C untuk bertemu Iraq pada 10 Januari, Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).