PETALING JAYA: Pemain prolifik muda negara, Safawi Rasid memegang nasihat kedua ibu bapanya sepanjang berjauhan dengan keluarga. Pemain sayap skuad Bawah 22 Tahun Negara (B-22) ini mengakui terlalu rindu kepada keluarganya sejak meninggalkan tanah air bulan lalu bagi menjalani latihan akhir sebelum kempen Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang bermula 10 Januari ini. "Rindu memang rindu sebab rasa dah lama tidak berjumpa keluarga. Perasaan rindu tu selalu ada apabila berada di luar negara. "Sebelum berlepas ke Korea Selatan baru-baru ni, ayah (Rasid Sulong) dan mak (Selemeh Abu Bakar) ada pesan supaya jangan tinggal solat dan buat yang terbaik. "Mereka juga berpesan supaya jangan lupa keluarga dan yang paling penting saya ingat supaya bermain bersungguh-sungguh kerana ayah pesan 'keluarga kita ni bukan macam orang lain, nak tu dapat, nak ni dapat," ujar Safawi kepada mStar Online. Mengambil nasihat kedua-dua ibu bapanya, pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini berazam untuk menjadi lebih baik berbanding sebelum ini. "Saya mahu meningkatkan mutu permainan dan mencapai cita-cita untuk lebih berjaya dalam bidang ini. "Saya juga sudah menanam azam untuk tahun ini mahu melakukan yang terbaik supaya sekali gus mendapat panggilan dari skuad kebangsaan (Harimau Malaya) beraksi dalam Piala Suzuki AFF (November). "Manakala azam untuk aksi kelab (JDT), saya mahu bersaing bagi mendapatkan tempat dalam sebelas senarai utama. "Saya sedar bukan mudah kerana di sana terdapat ramai pemain terbaik," jelasnya yang kini berada di Nanjing, China. Mengenai persiapan bersama skuad Datuk Ong Kim Swee ini, Safawi memberitahu semuanya berjalan dengan lancar. Safawi (belakang) bersama rakan sepasukan, Daniel Amier dan Azam di Nanjing, China. "Saya gembira kerana kami sudah ada persefahaman antara satu sama lain. Lagi pun sebelum ini kami sudah bersama dalam skuad Sukan SEA tahun lalu. "Jadi sekarang ini, kami lebih fokuskan perbaiki kelemahan yang ada sebelum sepak mula Piala AFC. "InsyaAllah saya akan cuba menjaringkan gol dan sama-sama tonjol yang terbaik. Lagipun bukan saya seorang sahaja yang berperanan menyumbat gol, ini adalah kerja satu pasukan. "Sekarang ini saya akan cuba tingkatan keyakinan diri, tahap kecergasan dan mengikut arahan taktikal jurulatih," tambahnya yang juga bermain dalam posisi penyerang. Malaysia bakal membuka tirai perlawanan Piala AFC Bawah 23 Tahun ini dengan bertemu Iraq pada 10 Januari, Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) bagi saingan Kumpulan C.