PETALING JAYA: Perlawanan persahabatan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China antara skuad kebangsaan dan Syria di Nanjing, China pada pukul 4 petang Jumaat terpaksa ditangguhkan. Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, penangguhan perlawanan di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing sehingga Sabtu itu disebabkan keadaan permukaan padang yang dilitupi salji tebal dan membahayakan para pemain. Selain itu, katanya, pasukan B-23 Syria di Kunshan juga tidak dapat melakukan perjalanan ke Nanjing kerana jalan ditutup. "Sehubungan itu, pihak Persatuan Bolasepak China (CFA) sedang mencari alternatif lain agar perlawanan ini tetap dapat diteruskan. "Bagaimanapun, ia adalah tertakluk kepada keadaan cuaca dan faktor keselamatan yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Kim Swee berkata, jika perlawanan tersebut masih tidak dapat diteruskan, skuad B-23 kebangsaan akan terus memulakan aksi sulung Kumpulan C Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changshu bertemu Iraq pada Rabu depan. "Sudah tentu jika perlawanan ini masih tidak dapat dilangsungkan esok, ia sesuatu yang mengecewakan buat pasukan Malaysia dan Syria yang mahu menguji kekuatan pasukan masing-masing menjelang kejohanan. "Namun ia adalah sesuatu di luar kawalan kerana faktor cuaca," katanya.