suria

Jimat Kos: Kafa Sedia Pinjamkan Enam Pemain

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia untuk meminjamkan enam pemainnya kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M)  yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit, sebagai langkah mengurangkan kos pembelanjaan persatuan itu musim ini.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pemain terbabit ialah Mohd Faizul Nazlin Sayuti, Hattaphon Bun Aun,  Mohd Nasharizam Abd Rashid, Rozaimi Azwar Mat Zin, Shafiq Abd Rahman dan Mohd Haikal  Mohd Nazri.

“Setakat ini, Kafa telah berunding dengan berapa pasukan untuk membolehkan enam pemain terbabit beraksi dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya  kepada pemberita pada majis menandatangani kontrak penyerang import baharu Kelantan, Bruno Lopes dari Brazil, di sini, Sabtu.

Menurutnya, skuad 'The Red Warriors' (TRW), sudah melengkapkan senarai penuh 25 pemain bagi menggalas cabaran pasukan negeri itu dalam kempen Liga M musim ini.

Bibi  Ramjani berkata anggaran perbelanjaan  Kafa setiap bulan ialah RM1 juta bagi pengurusan pasukan Kelantan dan juga pasukan Piala Presiden serta Piala Belia tahun ini.

Beliau percaya dengan kehadiran lima pemain import baharu dan dibantu oleh pemain tempatan, pasukan Kelantan mampu memberikan saingan kepada pasukan lain.

"Musim ini kita meletakkan sasaran pasukan Kelantan berada di kelompok lima teratas pada saingan Liga Super dan melangkah ke peringkat lebih tinggi pada saingan Piala FA dan Piala Malaysia," katanya.-- Bernama

Kafa, Bibi

Artikel Berikut

Barkley Sah Milik Chelsea

Artikel Lain