JURGEN Klopp mengakui mahu menjadikan Anfield sebagai kelab di mana pemainnya mahu terus kekal di situ, bermula dengan Emre Can. Pemain tengah Jerman itu akan melalui fasa perpindahan secara percuma sama ada ke Juventus atau Manchester City yang ketika ini menunjukkan minat. Senario ini berlaku selepas perpindahan Philippe Coutinho yang sekali gus telah memberi tamparan hebat kepada pengurus The Reds yang berhasrat untuk memastikan pasukannya tidak berpecah. Berdasarkan pencapaiannya beberapa minggu kebelakangan ini, Liverpool mampu mempamerkan saingan hebat kepada Manchester City pada masa depan. Ketika mempersiapkan pasukan untuk lawatan ke Swansea, Klopp mengakui dia tidak mampu untuk melepaskan lebih ramai pemain utamanya. "Memang ada kelab bola sepak di mana pemain mahu meninggalkannya. Situasi ini boleh dan mungkin akan terus berlaku pada masa depan. "Ia bukan satu masalah besar, tetapi kita tidak boleh biarkan ia kerap berlaku, maknanya kita perlu pastikan sukar untuk mereka meninggalkan kelab. "Kita perlu wujudkan suasana di mana pemain mahu kekal di kelab ini," katanya. Setakat ini, masih ada tempoh enam bulan lagi sebelum Can benar-benar meninggalkan The Reds dan ia dilihat Klopp suatu jangkamasa yang perlu digunakan sepenuhnya untuk khidmat pemain itu. "Dia masih ada di sini dan itu yang paling penting ketika ini. Jika prestasi Emre seperti mana yang dipamerkan selama ini, tentunya tiada masalah," katanya. Setakat ini, Klopp bakal mendapatkan khidmat Virgil van Dijk, Daniel Sturridge dan Alberto Moreno dalam pasukannya.-Mirror.uk