PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane mendedahkan Cristiano Ronaldo menanggung kesakitan akibat luka di kepala yang dialaminya ketika perlawanan menentang Deportivo La Coruna. Pemain Portugal itu meninggalkan padang dalam keadaan berlumuran darah di muka selepas bertembung pertahanan lawan, Fabian Schar ketika cuba menjaring gol keenam Real pada aksi di Stadium Bernabeu itu. Bercakap kepada media selepas perlawanan yang berakhir dengan kemenangan Real 7-1, Zidane berkata:"Dia mengalami luka dan telah mendapat dua atau tiga jahitan dan kini dalam keadaan baik." Kecederaan yang dialami Ronaldo bagaimanapun berakhir dengan kemenangan buat pasukan itu selepas tiga kali tewas dalam perlawanan sebelum ini. Mengenai sumbangan Gareth Bale, Zidane berkata: "Saya sentiada mahu setiap pemain dapat beraksi di padang dan apabila mereka tiada, ia membuatkan saya rasa tidak senang." Tambahnya, ketika ini, pasukan itu tidak mempunyai dua pemain tengah dan ia sesuatu yang tidak menggembirakan. "Bagaimanapun saya gembira dengan Gareth kerana dia menunjukkan aksi yang konsisten," katanya. Katanya lagi, sememangnya sesuatu yang positif dan hebat jika memenangi perlawanan terutama dengan tujuh gol di tempat sendiri. "Bukan selalu kita dapat tujuh gol di Bernabeu, jadi ia satu hari yang sangat berbaloi dan mengujakan," katanya.-SkySport