ANTONIO Conte mengakui Chelsea gagal menandatangani Alexis Sanchez kerana mereka tidak dapat bersaing dengan gaji yang ditawarkan oleh Manchester United. Pemain dari Chile itu secara rasmi melengkapkan perpindahannya ke Old Trafford pada Isnin dalam perjanjian yang menyaksikan Henrikh Mkhitaryan menyertai Arsenal. Chelsea turut dikaitkan dengan Sanchez ketika United berada di tahap awal rundingan perpindahan. Tetapi menurut Conte, pemain berusia 29 tahun itu yang kini merupakan pemain yang mendapat gaji tertinggi dalam Liga Perdana, sentiasa berada di luar jangkauan untuk kelab juara Liga Perdana Inggerisnya. "Kami tidak pernah berada dalam perlumbaan ini. Langsung tak pernah. "Terutamanya kerana, saya ulangi, salah satu sebabnya ialah jumlah gaji. Hanya satu atau dua kelab mampu membayar gaji seperti ini. "Juga, jika anda mahukan pemain, anda perlu berdepan dengan realiti ini. "Sekarang tak mudah untuk berfikir tentang berada di atas United atau City kerana pasukan besar ini sentiasa bertambah baik dan melabur banyak wang. "Kemudian, jika anda terus mempunyai jurang seperti ini, bukan hanya di England, dua kelab besar ini boleh menjadi berbahaya untuk pasukan lain di dunia juga. "Kedua-dua pasukan sudah sangat kuat dan mahu melabur. "Saya fikir apabila anda masuk dalam pasaran pemindahan, anda perlu tahu bahawa, jika anda mahukan yang terbaik, anda perlu banyak berbelanja. "Jika tidak, anda hanya duduk di tengah dan menghabiskan £20-30 juta," katanya. -metroUK