JOSE Mourinho sudah mempunyai dua pilihan dalam senarai pendeknya bagi menggantikan David de Gea jika penjaga gol itu meninggalkan Manchester United untuk ke Real Madrid pada musim panas. De Gea adalah sasaran utama Real untuk menggantikan Keylor Navas, bagaimanapun Thibaut Courtois juga sedang dalam pertimbangan. Dan Mourinho turut mempertimbangkan pengganti De Gea sekiranya dia perlu menandatangani penjaga gol lain pada musim panas. Laporan Don Balon mendakwa Mourinho mahukan sama ada Jan Oblak (Atletico Madrid) atau Manuel Neuer dari Bayern Munich. Kedua-duanya adalah penjaga gol hebat dan akan membantu United jika kelab kehilangan De Gea. De Gea hampir menyertai Real pada tahun 2015 tetapi kesilapan pentadbir menyaksikan perjanjian itu tidak dapat disepakati pada hari akhir jendela perpindahan. Dan dia terus menandatangani kontrak baharu dan membantu United kembali ke Liga Juara-Juara di bawah Mourinho. De Gea adalah salah seorang penjaga gol terbaik di dunia dan Real berminat untuk menandatanganinya musim depan. Oblak akan menelan kos £87 juta (€100 juta) untuk berpindah dari Atletico Madrid, manakala Neuer yang berusia 32 tahun mungkin pilihan yang lebih murah. Mourinho dikatakan bersedia untuk menawarkan pemenang Piala Dunia Jerman itu perjanjian selama tiga tahun untuk membawanya keluar dari Munich ke Manchester pada musim panas.