suria

Seorang Pemain Import Bantu Kedah Berdepan JDT

Ramon Marcote

TIGA pemain import Kedah yang masih dibelenggu kecederaan mampu membantu skuad hijau kuning sekiranya mereka pulih sebelum perlawanan bermula.

Pengendali Kedah, Ramon Marcote berkata, keputusan untuk menggunakan khidmat pemain import berkenaan akan dibuat sebelum aksi merebut Piala Sumbangsih bermula pada Sabtu ini.

"Saya sedar lawan kita pada Sabtu ini bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka adalah juara Liga Super selama empat tahun lalu dan juara Piala Malaysia musim lalu.

"Oleh itu saya perlu pastikan hanya pemain berada dalam keadaan terbaik akan beraksi selama 90 minit agar kita dapat minimumkan kesilapan yang akan memberikan kelebihan kepada lawan.

"Buat masa ini, hanya Liridon Krasniqi sahaja mampu beraksi pada perlawanan itu tetapi saya yakin dengan kemampuan barisan pemain muda serta yang sudah lama bersama Kedah, kita  mampu mencabar lawan," katanya kepada mStar Online.

Marcote memberitahu, segala persediaan untuk perlawanan pertama itu telah dilakukan sebaik mungkin dan kerjasama atau semangat sepasukan akan membentuk permainan lebih baik.

Jelasnya, skuad hijau kuning juga terpaksa melupakan dahulu khidmat pemain import kelima dalam perlawanan pertama kerana urusan perpindahan belum dapat diselesaikan ketika ini.

"Kita perlu menunggu keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk pemain ini tiba dan bersama kita. Usaha untuk membawa import dari negar Asean itu kini berada di peringkat majikan.

"Apa yang lebih penting ialah kita memberi sepenuh perhatian terhadap perlawanan pertama ini dan membawa pulang piala pertama musim ini," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain