PERSATUAN Pemain Profesional (PFA) menawarkan bantuan sokongan kepada Leicester City dalam menyelesaikan isu pemainnya. Sehingga kini Leicester masih buntu dengan ‘kehilangan’ Riyad Mahrez yang tidak mengikuti sesi latihan. PFA sedia memberi bantuan atau menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu yang timbul di antara pemain dan pengurusan pasukan. Mahrez tidak menyertai skuad Claude Puel sejak Selasa lalu selepas permintaan untuk berpindah ke Manchester City tidak berjaya sehingga tarikh tutup jendela perpindahan minggu lalu. The Foxes akan bertandang ke Stadium Etihad Sabtu ini dan dijangka Mahrez turut terlepas perlawanan tersebut. Malah pemain antarabangsa Algeria itu juga turut tidak beraksi pada dua perlawanan (Everton dan Swansea) terakhir minggu lalu. Leicester berharap untuk menyelesaikan isu ini dengan segera dan memberi peluang kepada Mahrez untuk kembali ke skuad. Rakan baik Mahrez,26,mendedahkan bahawa pemain itu berada dalam keadaan tertekan selepas gagal untuk berpindah. Mahrez ingin meninggalkan Stadium King Power sejak bulan lalu ketika jendela perpindahan pemain dibuka. Leicester memberi harga kepada Manchester City 80 juta pound untuk pemain itu. City sebelum ini sedia untuk membeli pemain dengan harga 50 juta pound, bersama seorang lagi (nama tidak didedah) dengan nilai 15 juta pound. Sebagai rekod, Mahrez hanya mengikat kontrak selama empat tahun pada 2016 selepas membantu pasukan itu bergelar juara liga di bawah pengurusan Claudio Ranieri.