ALOR SETAR: Malaysia menempah slot ke separuh akhir selepas menundukkan Hong Kong pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018. Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini Jumaat, pemain nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei membuka langkah kanan apabila menewaskan Angus Ng Ka Long 21-15, 22-20. Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meneruskan rentak cemerlang apabila menumpaskan Or Chin Chung-Tang Chun Man 21-11, 21-16. Pemain kelahiran Alor Setar, Lee Zii Jia meneruskan cabaran dengan menjinakkan Vincent Wong Wing Ki 21-16, 21-15 untuk memenangi perlawanan dengan kedudukan 3-0. Kemenangan ini bermakna Malaysia mengesahkan slot ke pusingan Akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada Mei. Malaysia akan bertemu sama ada India atau China pada peringkat separuh akhir, Sabtu. - Bernama