SEBAGAI pengendali Arsenal, Arsene Wenger mempunyai perancangannya sendiri apabila tidak mahu berganjak dari kelab itu walau sudah lama menerajuinya. Dia dilaporkan berhasrat mahu mencapai 1,000 perlawanan Liga Perdana sebagai bos Arsenal. Perlawanan derby utara London di Wembley menjadi perlawanan ke-817 dikendalikan pengurus dari Perancis ini. Starsport mendedahkan Wenger telah memberitahu mereka yang rapat dengannya tentang keinginannya untuk mencapai empat angka dengan Gunners. Wenger sudah mendahului carta Liga Perdana untuk pengurus yang mengendalikan perlawanan terbanyak. Dia mengenepikan Sir Alex Ferguson dari Manchester United dengan 811 perlawanan, ketika seri 1-1 di West Brom pada 31 Disember. Wenger akan mencapai 828 perlawanan pada akhir musim dan perlu kekal di The Emirates selama hampir lima kempen lagi untuk mencapai 1,000 perlawanan pada usia 73 tahun. Ini bermakna, jika ini berlaku masanya bersama dengan kelab menghampiri tiga dekad. Kemungkinan Wenger dapat memenuhi impiannya itu tipis, dengan kelabnya gagal layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama di bawah pimpinannya musim lalu. Mereka kini berada di tangga keenam dalam carta liga, 24 mata di belakang pendahulu Manchester City dan Wenger hanya mempunyai satu lagi musim dalam perjanjian semasa yang ditandatangani. Dalam tempoh lebih dari 21 tahun di Arsenal, Wenger mengawal hampir keseluruhan kelab, tetapi kekuasaannya itu mula berkurang akibat kekecewaan musim lalu. "Sukar jadi seperti Wenger," kata pengurus kelab pesaing, Mauricio Pochettino yang mengendalikan Tottenham Hotspur. "Atas alasan yang berbeza, ia sukar. "Mungkin kita bercakap tentang salah seorang pengurus terakhir yang dapat menggunakan kuasa ini atas segala-galanya di sebuah kelab bola sepak," katanya. -DailyStar