suria

Pemain Jepun Benam China Tanpa Tekanan!

Skuad berpasukan wanita Jepun menjulang trofi kejuaraan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti pada Ahad. - Bernama

ALOR SETAR: Jepun memberi amaran awal kepada juara bertahan Piala Uber, China, mereka cukup bersedia merampas kejuaraan tersebut pada Mei ini, apabila membenam juara dunia itu 3-0 pada final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Ahad.

Pemain perseorangan wanita nombor dua dunia, Akane Yamaguchi, bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 21-16, 12-21, 21-14 ke atas pemain nombor lapan dunia, Chen Yufei dalam masa 56 minit permainan.

Jepun meraih mata kedua menerusi pasangan beregu, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi yang menewaskan Du Yue-Li Yinhui 21-13, 21-16.Nozomi Okuhara muncul wira bagi memastikan kemenangan skuad Jepun apabila menumpaskan pemain nombor sembilan dunia, He Bingjiao, 19-21, 21-16, 21-10.

Ketua jurulatih Jepun, Park Joo-bong menyifatkan perlawanan akhir pada Ahad adalah saingan paling menarik sepanjang kejohanan berkenaan, dan beliau berpuas hati dengan prestasi pemainnya dengan menewaskan pasukan gergasi dunia itu, yang sudah tentunya satu pencapaian sangat membanggakan.

Aksi pemain perseorangan China, He Bingjiao selepas ditewaskan Nozomi Okuhara dari Jepun.

“Sebenarnya ia lebih sukar daripada yang kita jangkakan, tetapi pemain saya beraksi dengan baik. Ia satu ujian yang baik kepada mereka kerana kita boleh menjangkakan cabaran lebih getir di Bangkok (Piala Uber) kerana pada kejohanan ini, China tidak menyenaraikan pemain terbaik mereka,” katanya.

Beliau berkata pasukannya sudah bersedia menghadapi cabaran saingan Piala Uber pada Mei depan, dan pemain yang mengalami kecederaan semakin pulih.

Sementara itu, pemain beregu Jepun, Matsutomo mengakui perlawanan menentang China adalah sengit, namun mereka tidak berasa tertekan untuk mengetepikan cabaran pasukan terbaik dunia itu.

“Kami beraksi tanpa tekanan sama sekali. Kita beraksi seperti yang sudah diberitahu. Secara keseluruhan permulaan yang baik bagi kami untuk menyumbangkan mata dan memenangi perlawanan tersebut.

“Kami mahu belajar daripada pengalaman ini dan memperbaiki prestasi masing-masing sebagai persiapan menjelang Piala Uber pada Mei depan,” kata Matsutomo. - Bernama

BATC 2018

Artikel Lain