suria

Mungkin Tukar Jurulatih Baharu - Bibi Ramjani

Pemain Kelantan (jersi putih) ketika aksi tewas 2-0 ketika menentang Pahang Sabtu lalu.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak menolak kemungkinan mencari jurulatih baharu sekiranya Sathit Bensoh gagal melakukan perubahan terhadap prestasi Kelantan, pada perlawanan Liga Super akan datang.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, langkah tersebut bertujuan mematikan The Red Warriors (TRW) kembali berdaya saing selepas meraih keputusan tidak memberangsangkan dalam tiga pertemuan sebelum ini.

“Kita tengok keadaan, sebab banyak benda akan berubah (selepas ini). Kalau tahap permainan masih ditakuk sama, tak mustahil kita akan ambil jurulatih lain.

“Kita dah tengok (penilaian) dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kemungkinan besar 50-50 untuk tukar jurulatih baru,” katanya kepada Sinar Harian.

Di bawah kendalian jurulatih Thailand itu, skuad pantai timur berkenaan sekadar mengutip satu mata daripada tiga perlawanan dan berada di tangga tercorot liga.

Ia merupakan kedudukan semasa terburuk dialami Kelantan dalam sejarah penyertaan liga domestik utama negara, sejak 10 tahun lalu.

Bibi Ramjani turut mengesahkan, beliau sudah kenal pasti calon jurulatih sesuai yang akan mengemudi Kelantan namun enggan mendedahkan identiti individu berkenaan, buat masa ini.

“Saya sudah jumpa dengan jurulatih itu dan mengadakan perbincangan mengenai terma dan syarat kontrak termasuk soal gaji dan dia tak ada apa-masalah (bersetuju).

“Kita perlukan seorang jurulatih yang mempunyai karakter tegas. Kita tak mahu pemain pijak kepala jurulatih dan sebab itu kita perlukan seseorang yang tegas untuk memimpin pasukan,” katanya.

TRW, Bibi Ramjani, Jurulatih

Artikel Lain