suria

Kedudukan Tercorot Liga, Kafa Pecat Sathit

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memecat ketua jurulatih, Sathit Bensoh, selepas skuad The Red Warriors (TRW) tercorot dalam tangga Liga Super selepas mengharungi  tiga perlawanan pertama musim ini.

Kelantan kini menghuni tangga ke-12 liga dengan satu mata selepas seri 1-1 dengan Terengganu FC 1, kalah 2-1 kepada Melaka United dan kalah 3-0 kepada Pahang.

Pemecatan jurulatih kelahiran Thailand itu disahkan Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman.

Husin, ketika dihubungi berkata pemecatan Sathit itu berkuat kuasa Khamis dan penolong jurulatih, Yusri Che Lah akan memangku tugas buat  sementara waktu.

“Kita tidak boleh boleh tunggu lagi walaupun sebelum ini kita memberikan peluang kepada Sathit mengemudi Kelantan.

“Kita terpaksa buat keputusan ini kerana prestasi Kelantan yang tidak memuaskan, bukan sahaja tiga perlawanan dalam saingan Liga Super malah pada aksi pramusim juga tidak menunjukkan sesuatu yang positif," katanya.

Dalam pada itu, Husin berkata Kelantan kini sedang mengintai beberapa jurulatih import baharu dari Croatia, Iran dan Nigeria untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sathit.

"Sekurang-kurangnya lima jurulatih telah menghantar permohonan untuk menjadi jurulatih The Red Warriors setakat ini dan ada sesetengah daripada mereka mahu datang dahulu dan tengok aksi pasukan ini dalam perlawanan menentang Perak di Kota Bharu pada 24 Februari ini," katanya. -Bernama

Kafa, Liga Super, Sathit Bensoh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Perlawanan Liga Europa

Artikel Lain