suria

Rujuk FAM Kalau Nak Guna Khidmat Ejen Bola Sepak

KUALA LUMPUR: Pemain tempatan atau warga asing yang berminat untuk mendapatkan khidmat ejen bola sepak dinasihatkan merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan pentadbir sukan berkenaan di negara ini.

Timbalan Presiden FAM Datuk  Mohd Yusoff Mahadi (gambar) menjelaskan ia bertujuan mengelak mereka daripada menjadi mangsa penipuan sesetengah individu tidak bertanggungjawab yang mendakwa mereka adalah ejen bola sepak sah dan berdaftar dengan badan induk bola sepak itu.

“FAM sentiasa mengawal kebanjiran ejen bola sepak tempatan mahupun asing bagi memastikan pemain dipilih menepati kualiti yang dikehendaki pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

“Mana-mana pemain tempatan atau asing yang berminat untuk beraksi di negara ini boleh terus pergi ke Persatuan Bola Sepak Negeri, kelab ataupun FAM tanpa melalui ejen bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Mohd Yusoff berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang warga tempatan dipercayai menyamar sebagai ejen bola sepak dengan memperdayakan seorang remaja warga Uganda sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM3,000.

Remaja berkenaan dilaporkan membuat bayaran tersebut kononnya untuk membolehkan beliau beraksi di Sarawak.Mengulas lanjut, Mohd Yusoff menegaskan badan induk itu tidak pernah berkompromi dalam isu penipuan ejen bola sepak bagi menjaga kualiti Liga-M yang semakin berkembang maju.

Berkongsi pandangan sama seorang ejen bola sepak terkemuka tempatan yang enggan namanya disiarkan, dengan menasihatkan pemain tempatan atau warga asing yang berminat beraksi dalam liga bola sepak di negara ini untuk menyiasat latar belakang individu mendakwa mereka ejen bola sepak sah.

“Kebiasaannya seseorang ejen bola sepak bertauliah berdaftar dengan FAM dan mempunyai pengalaman luas dalam mencari pemain berkualiti selain mempunyai hubungan baik dengan pasukan tempatan.

“Seseorang ejen profesional hanya menerima bayaran daripada pemain berkenaan setelah mereka melaksanakan tugas mencari  pasukan terbaik untuk pemain itu beraksi,” katanya.

FAM, ejen bola sepak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bawa Pulang Satu Mata Memadai

Artikel Lain