suria

Kim Swee, Maloney 'Bertapa' Di Sepanyol

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Bawah 23 Tahun, Datuk Ong Kim Swee dan pembantunya Brad Maloney bakal berangkat ke Sepanyol awal pagi Isnin.

Kim Swee dan Maloney akan 'bertapa' bersama salah sebuah kelab gergasi Liga Sepanyol, Atletico Madrid selama sebulan.

"Pemergian kedua-dua jurulatih ini ke Sepanyol adalah hasil usaha dan inisiatif Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi meningkatkan lagi kualiti kejurulatihan mereka.

"Ia sekali gus mampu memberi impak positif buat skuad muda negara menjelang Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos depan.

"Kim Swee dan Maloney dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini dengan meraih sebanyak mana ilmu baharu sepanjang tempoh sebulan di sana nanti bagi membalas kepercayaan diberikan Tunku Ismail yang mahu memastikan tahap bola sepak Malaysia terutama skuad muda negara terus mencapai peningkatan positif dari semasa ke semasa," ujar Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pemergian Kim Swee ke luar negara untuk latihan kejurulatihan bukan kali pertama buatnya.

Sebelum ini bekas jurulatih Harimau Malaya ini pernah terbang ke London selama sebulan bersama kelab Queen Park Rangers.

Ia bakal memberi impak lebih berbeza kepada Kim Swee dan Maloney selepas kedua-duanya berjaya membawa skuad negara mara ke suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun di China, Januari lalu

Artikel Lain