KUALA LUMPUR: Gandingan penerjun negara Ooi Tze Liang-Chew Yiwei meraih pingat gangsa dalam Grand Prix Fina (Persekutuan Renang Antarabangsa) ke-24 di Rostock, Jerman pada petang Sabtu (awal pagi Ahad waktu Malaysia). Pasangan negara itu mengumpul 387.54 mata bagi menamatkan saingan dalam acara 3m papan anjal lelaki, menurut laman web kejohanan www.springertag-rostock.de. China menunjukkan kehebatan apabila Zong Yuam Wang, 17, dan Zijie Hu, 21, meraih emas selepas mencatatkan 422.37 mata, manakala Jack Haslam-Ross Haslam dari Britain memenangi perak dengan 407.46 mata. Malaysia, yang diwakili tiga atlet terjun lelaki, tidak meraih sebarang pingat pada hari pertama kejohanan pada Jumaat, apabila Tze Liang menamatkan saingan dalam final 3m papan anjal lelaki dengan menduduki tempat terakhir setelah mengumpul 328.75 mata manakala Muhammad Amsyar Azman pula tersingkir di peringkat separuh akhir. Yiwei masih berpeluang menambah koleksi pingatnya apabila dia turut bersaing dalam acara 10m platform lelaki pada Ahad. -Bernama