PETALING JAYA: Tugas berat menanti jurulatih baharu skuad futsal wanita kebangsaan, Addie Azwan Zainal dalam mempersiapkan barisan pemainnya bagi menghadapi Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Mei depan. Beliau, yang sebelum ini menabur bakti selama enam tahun sebagai penolong jurulatih skuad futsal lelaki kebangsaan, berkata, cabaran utamanya adalah mengubah cara pemikiran pemain untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan corak permainan baharu yang akan dibawanya. Katanya, corak permainan bertahan skuad negara sebelum ini mungkin sedikit menyukarkan para pemain untuk menerima pendekatan baharu yang menumpukan aspek kekuatan fizikal dan keupayaan pemain menguasai gelanggang dalam tempo permainan pantas yang bakal dibawanya. “Ini merupakan satu cabaran bagi saya tetapi ia bukan tugas yang sukar kerana pemain yang dipilih ini mempunyai bakat dan asas permainan menepati taktikal saya. Saya sendiri melihat perkembangan mereka dan saya tahu mereka masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. “Saya akan cuba menerapkan elemen permainan pantas dan ‘high-pressing' seperti yang dipamerkan juara bertahan, Iran. Oleh itu, saya sangat memerlukan barisan pemain yang mempunyai daya ketahanan fizikal selain berkebolehan mengawal bola dengan baik. Itu adalah perkara utama yang saya inginkan. “Pemain yang dipanggil kali ini memang ada asas elemen tersebut dalam diri mereka tetapi mereka masih tidak faham sepenuhnya cara terbaik untuk bermain dengan taktikal baharu itu. Jadi berikan mereka sedikit masa dan saya optimis mereka dapat membiasakan diri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada hari pertama kem latihan pusat skuad futsal tersebut di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, pada Rabu. Dalam pada itu, senarai 20 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat tersebut menyaksikan seramai sembilan daripada 16 pemain daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (2017) dikekalkan sementara tiga daripada 11 muka baharu merupakan bekas pemain wanita kebangsaan. Antara pemain yang mencuri tumpuan pada KL2017 dikekalkan dalam skuad kali ini adalah Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Steffi Sarge Kaur manakala tiga pemain wanita kebangsaan itu adalah Masturah Majid, Asma Junaidi dan Nur Haniza Saarani. Skuad negara dijangka berlepas ke Indonesia bulan depan bagi menjalani latihan intensif selama seminggu selain mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di sana. Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B pada kejuaraan tersebut akan memulakan aksi pertama menentang Bangladesh pada 2 Mei diikuti Taiwan (4 Mei) sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam (6 Mei).- Bernama