KUALA LUMPUR: Tiga atlet berprestasi tinggi telah disenarai pendek untuk dipilih sebagai pembawa untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan depan. Ketua kontinjen negara, Huang Ying How berkata kriteria utama bagi pemilihan tersebut diberikan kepada atlet yang belum pernah menjadi wakil negara di temasya sukan besar sebelum ini. Huang bagaimanapun tidak mendedahkan tiga calon tersebut tetapi sebaliknya berkata keputusan muktamad mengenai pemilihan pembawa bendera kontinjen negara itu hanya akan diumumkan pada 27 Mac ini. "Ia merupakan satu penghormatan besar buat atlet yang bakal dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang. Kita ada ramai atlet berprestasi tinggi dan saya sendiri masih menunggu keputusan daripada Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM)," katanya, sambil menambah peluang tersebut akan diberikan kepada atlet daripada acara individu. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Penajaan oleh Bata Primavera Sdn Bhd bernilai lebih RM60,000 kepada kontinjen negara ke temasya yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 15 April ini. Dalam perkembangan lain, Huang masih tidak mendedahkan sasaran spesifik kontinjen negara sebaliknya kekal dengan sasaran awal yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada tahun 2015 ketika mewujudkan Program Podium, untuk muncul antara 10 negara terbaik. "Bagi saya setiap atlet yang akan ke Sukan Komanwel ada sasaran mereka sendiri, mungkin ada yang sasar pingat emas, catatan masa peribadi terbaik atau mungkin berada di final. Kita tidak mahu meletakkan tekanan kepada atlet sehingga menjejaskan prestasi mereka," katanya. Huang menegaskan beliau tidak akan membuat pengumuman rasmi mengenai sasaran kontinjen negara untuk berlaku adil kepada atlet dan persatuan sukan yang terlibat walaupun beliau mengetahui setiap sasaran atlet dan persatuan. Katanya, atlet negara memerlukan sokongan daripada penyokong sukan tanahair walaupun telah melakukan persediaan rapi. -Bernama