suria

Tersingkir Piala FA, Presiden Kafa Mohon Maaf

PETALING JAYA: Presiden Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Illias Khan tampil memohon maaf kepada semua penyokong selepas pasukan itu tersingkir dalam aksi Piala FA.

Kelantan tewas 4-1 kepada PKNS pada saingan pusingan ketiga yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.

Menurut Bibi, beliau bertanggungjawab di atas kekalahan besar tersebut.

"Saya yakin ada hikmahnya. Selagi berdepan dengan kekalahan, selagi itu saya akan memperjuangkannya sehingga dapat memberi kegembiraan kepada penyokong dan rakyat Kelantan," jelasnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Bibi dilaporkan telah melantik bekas jurulatih skuad kebangsaan Syria, Fajr Ibrahim selaku pengarah teknikal skuad The Red Warriors (TWR) pada Ahad.

Fajr dikaitkan dengan posisi ketua jurulatih sejak bulan lalu selepas Sathit Bensoh dipecat.

Pada 24 Februari lalu Fajr tiba di Kota Bharu untuk rundingan dengan Kafa berhubung pengisian kekosongan jawatan dalam skuad TWR.

Kafa sebelum ini mengambil tindakan drastik menggugurkan Sathit sebagai pengendali utama Kelantan berikutan kegagalan mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan melibatkan pasukan itu dalam saingan Liga Super pada awal musim ini.

Kelantan ketika ini dikendalikan Yusri Che Lah.

Kelantan FA, Bibi Ramjani

Artikel Lain