MAMU Kedah, Raphi Azizan Mariappen selamat menamatkan zaman bujangnya pada Sabtu lalu. Dengan sakali lafaz, Raphi, 22, sah bergelar suami kepada Nur Khairunnisa yang sebaya dengannya di Masjid Taman Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan. Berkongsi gambar hari bahagianya bersama mStar Online, Raphi berharap perkahwinannya ini kekal selamanya. Pastinya tanggungjawab semakin bertambah tetapi bagi Raphi kariernya tetap menjadi fokus utama. Bekas pemain pertahanan Kedah yang menyarung jersi PJ Rangers sejak musim lalu itu merupakan pemain remaja yang tidak asing lagi dalam skuad muda kebangsaan. "Saya berharap semuanya akan lancar dan semakin baik selepas ini," ujarnya ringkas. Raphi memberitahu, mereka mengenali antara satu sama lain ketika di Tingkatan 3. "Kami sekolah berasingan. Dia sekolah kat KL tetapi selalu datang ke sekolah saya Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) untuk bertemu dengan adiknya. Dan sejak itu kami berkenalan sehinggalah ke jinjang pelamin. "Mengenai percutian berbulan madu, kami belum putuskan lagi memandangkan jadual latihan saya yang padan," tambah Raphi.