suria

Shopee Piala FA 2018: Post Mortem Pahang vs Kedah

PERJUANGAN pasukan Kedah dalam Shopee Piala FA 2018 telah berakhir apabila tewas 1-0 kepada pasukan Pahang di Stadium Darul Makmur malam Ahad.

Walaupun tewas tetapi Kedah menyajikan sebuah permainan yang baik untuk memaksa Pahang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang 90 minit permainan.

Pahang bermula dengan 'pressing' yang tinggi di awal permainan dengan menjadikan Mamadou Sumareh sebagai titik fokal buat pasukan mereka.

Pasti ramai yang agak hairan mengapa Sumareh ditugaskan bermain di posisi sayap kiri. Ini adalah salah satu daripada perancangan Dollah Salleh.

Bek Kanan Kedah, Rizal Ghazali adalah seorang pemain yang sangat ampuh di bahagian itu. Tidak ramai pengendali yang memilih bahagian itu untuk melakukan serangan kerana Rizal tidak mudah untuk ditewaskan.

Tetapi Rizal juga mempunyai tugasan yang lain iaitu sebagai 'wingback' untuk membantu Badroll Bakhtiar dalam melancarkan serangan dari arah kanan padang.

Apabila Rizal naik membantu bahagian serangan, box beliau akan ditinggalkan dan ianya harus ditampung oleh Alvaro Silva.

Harus diingat bahawa Pahang mempunyai Forkey Doe di bahagian tengah dan Silva juga perlu mengekang ancaman daripadanya.

Dolah Salleh memilih untuk menggunakan Sumareh di kiri padang untuk mengehadkan pergerakan Rizal untuk naik ke atas dan juga cuba memanipulasikan ruang yang ditinggalkan oleh Rizal jika naik membuat overlapping.

Sepanjang 12 minit permainan, Pahang mendominasi perlawanan dengan serangan-serangan yang cukup berbahaya dari gandingan Sumareh dan Forkey Doe.

Itu hanyalah bayangan di awal permainan sebelum Kedah mula mendapat rentak (settle down).

Kedah mula dominan di atas padang bermula pada minit ke 15. Pahang kelihatan agak hilang arah berdepan dengan 'one touch football' yang dimainkan oleh Kedah.

Nasib memihak kepada Kedah bila mana Doe terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan posisi itu diganti oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Norshahrul bukanlah NO 10 sebaik Doe dan kemasukannya merencatkan sedikit strategi permainan Dollah.

Setelah mengeluarkan Doe, Kedah mendominasi permainan sehingga akhir walaupun kadangkala Pahang berjaya melakukan 'counter attack' hasil larian-larian pantas Sumareh.

Kedah bermain dengan sangat baik tetapi mereka gagal memanipulasikan ruang yang terbuka di 'middle third'.

Liridon serta Akram Mahinan beraksi dengan baik di centre area bagi melakukan 'built up' serangan tetapi Kedah kurang efektif apabila rantaian (chain) dari NO 10 ke NO 9 terputus (disjointed).

Kedah bermain menggunakan NO 10 sebagai 'free role player' dan 'shadow triker' tetapi impak yang diberikan oleh Sandro Da Silva agak minimum.

Pablo Pallares agak kurang efektif di depan gawang dan tugasan untuk menghasilkan jaringan perlu digalas oleh NO10 tetapi kedua-dua pemain ini gagal menjalankan tugas mereka dengan baik untuk menghasilkan jaringan.

Kedah cuba bermain dengan set pieces play dan hampir 2 atau 3 kali set piece yang dilakukan hampir menghasilkan jaringan tetapi sentuhan dari Pallares agak lemah.

Kedah berdepan situasi panik di bahagian pertahanan apabila dalam keadaan terancam.

Pertemuan lalu juga membuktikan situasi yang sama bila mana Kuala Lumpur memanipulasikan situasi panik pertahanan pasukan Kedah untuk menghasilkan jaringan dan situasi yang sama berlaku di Kuantan.

Sumareh memanipulasikan keadaan ini dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan jaringan tunggal pasukan Pahang dalam perlawanan ini.

KESIMPULAN:

Kedah dan Pahang bermain dengan baik dalam perlawanan ini tetapi Pahang berjaya mencipta satu jaringan untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Kedah sangat dominan di atas padang tetapi Pahang mampu memanipulasikan kelemahan kecil pasukan lawan dan melayakkan mereka untuk beraksi di peringkat seterusnya.

Buat pasukan Kedah, ini bukanlah satu pengakhiran tetapi ini merupakan sebuah permulaan.

Piala FA, Kedah, Pahang, post mortem

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain