suria

LTdL2018: Belletti Akhiri Kemarau Gelaran

MUAR: Pelumba Itali, Manuel Belletti daripada pasukan Androni Giocattoli-Sidermec menamatkan kemarau gelaran selepas dua tahun apabila menjuarai peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 dari Velodrom Nasional di Nilai ke Dataran Tanjung Emas, Sabtu.

Pelumba berusia 32 tahun itu yang baru pulih daripada kecederaan serius dialaminya awal tahun ini, menampilkan kayuhan cemerlang menuju ke garisan penamat, menewaskan pelumba Albania Eugert Zhupa daripada Wilier Triestina-Selle Italia dan pelumba Kazakhstan, Ruslan Tleubayev mewakili Astana Pro Team pada perlumbaan hari ini melibatkan jarak 222.4km.

Kesemua tiga pelumba berkenaan, mencatat masa yang sama 5 jam 08 minit dan 23 saat pada perlumbaan mencabar itu, menampilkan tiga zon pecutan dan enam zon pendakian.

Pelumba Rusia, Artem Ovechkin daripada Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG) yang menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan pada saingan hari ini, masih mengekalkan Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan, selain mempertahankan Jersi Merah Polka Dot, dengan catatan masa keseluruhan 28'56:20 saat serta mengutip 40 mata.

Pelumba Itali, Riccardo  Minali yang mewakili Astana Pro Team, dalam pada itu, berada di landasan terbaik memenangi Jersi Hijau selaku Raja Pecut selepas mengumpul 55 mata, dengan berbaki satu peringkat perlumbaan berbasikal berprestij itu. -Bernama

LTdL2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain