suria

KBS Sedia Beri Peruntukan Naik Taraf Stadium Shah Alam

SHAH ALAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia memberi peruntukan bagi menaik taraf Stadium Shah Alam sebagai hab pelancongan sukan di negeri ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata langkah menaik taraf stadium itu dilihat bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada penduduk  di Shah Alam tetapi kepada rakyat Selangor khususnya.

"Saya sokong saranan Ketua Bahagian UMNO Shah Alam (Datuk Azhari Shaari) yang mahukan stadium ini menjadi hab pelancongan dan saya akan beri peruntukan (untuk tujuan itu).

Jangan tanya saya kenapa sekarang baru nak bagi...sebagai menteri saya memang bertanggungjawab untuk sukan, tetapi mereka (kerajaan Selangor) yang tidak minta. Pernah  bumbung stadium terpelanting dan saya tawarkan peruntukan (untuk baiki stadium) tetapi mereka tolak," katanya ketika berucap dalam program Town Hall Transformasi Anak Muda Milenia Selasa malam.

Khairy berucap di hadapan lebih 1,000 peserta program itu yang terdiri daripada pelajar institusi awam,  guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Azhari mengemukakan cadangan menaik taraf stadium itu sebagai hab pelancongan sukan berikutan Selangor terkenal dengan pasukan bola sepaknya selain untuk membuka peluang golongan muda terlibat secara langsung dalam aktiviti pelancongan sukan di negeri ini.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO, turut memberi jaminan akan mewujudkan 'Youth Entrepreneurs Outlet' di sekitar Shah Alam bagi memberi peluang golongan muda menceburi bidang keusahawanan.

"Kalau tidak dapat kerja di sini, kita galakkan  anak muda ceburi bidang perniagaan yang mana kita juga merancang untuk wujudkan pusat sehenti.

Pusat sehenti ini akan memudahkan mereka melakukan pendaftaran syarikat, mendapatkan pinjaman dan geran sekali gus sebagai satu inisiatif melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan anak muda," tambahnya.-Bernama

Artikel Lain