suria

Sukan Komanwel: Khairy Cabar Atlet Podium Raih Pingat

Khairy Jamaluddin bersama atlet Kontinjen Malaysia melaungkan slogan Malaysia Boleh pada majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018, di Kementeian Belia dan Sukan pada Selasa. Foto: Bernama.

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini mencabar semua atlet di bawah Program Podium untuk meraih pingat ketika beraksi di temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia yang akan berlangsung dari 4 hingga 15 April depan.

Menurut beliau segala persiapan dan persediaan telahpun diberikan kepada mereka dan kini atlet berkenaan  perlu membuktikan dengan pencapaian pingat."...bagi atlet Program Podium prestasi terbaik anda mesti  berakhir di podium. Saya tidak mahu kurang daripada itu. Segala persiapan, segala sokongan, semuanya  telah disediakan khusus untuk anda (atlet).

"Jika anda tidak memberikan yang terbaik, ertinya anda tidak membalas jasa dengan pemberian terbaik untuk negara. Pemilihan anda bukan sekadar untuk mencukupkan bilangan di Sukan Komanwel, tetapi menunjukkan kemampuan ‘Harimau Malaysia',” kata Khairy.

Beliau menegaskan demikian dalam amanatnya kepada sebahagian atlet yang bakal membawa cabaran Malaysia di temasya berkenaan, pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Dewan Serbaguna KBS pada Selasa.

Sementara bagi atlet bukan di bawah Program Podium, Khairy berkata Sukan Komanwel adalah medan terbaik untuk mereka mempamerkan prestasi terbaik.

Pada majlis itu Khairy menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel itu, Huang Ying How sebelum diserahkan kepada pembawa bendera pada temasya itu, atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Datuk M.Saravanan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Datuk Dr Khairi Zawi.

Khairy berkata Program Podium yang disediakan itu adalah untuk atlet terus mempertingkatkan pencapaian mereka dari masa ke masa.

"Kita tidak mahu menjadi juara dunia dalam sukan tertentu untuk hanya sekali, tetapi berulang kali. Kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu melakukan ini secara konsisten.

"Perkataan yang penting sekali untuk diingati semua ialah konsisten mencapai prestasi di peringkat tertinggi. Kita perlu menguasai dan mengawal keadaan di setiap satu musim. Saya yakin persiapan yang dibuat untuk Sukan Komanwel ini sangat rapi dan mencukupi," kata Khairy.

Pada temasya kali ini, Malaysia akan menghantar kontinjen seramai 178 atlet (102 lelaki dan 76 wanita) serta 95 pegawai.

Untuk rekod temasya di Glasgow, Scotland 2014, kontinjen negara membawa pulang enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.-Bernama

Sujkan Komanwel, Atlet Podium

Artikel Lain