TOKYO: Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 kini bersiap sedia untuk menjadi kejohanan pertama dalam sejarah yang menggunakan teknologi pengecaman wajah. Perkara itu didedahkan jawatankuasa penganjur garis panduan keselamatan kepada media tempatan, Kyodo News. Selepas menyerahkan gambar kepada pangkalan data, barisan atlet dan petugas kejohanan berprestij itu akan diberikan kad pengenalan yang dilengkapkan dengan cip khusus untuk teknologi pengecaman wajah. Kad pengenalan itu akan mengesahkan pihak yang memasuki lokasi berlangsungnya acara sepanjang kejohanan itu. Teknologi terkini itu bermatlamat untuk menghalang penyalahgunaan kad, kes curi atau pemalsuan kad pengenalan itu, selain mengurangkan tempoh menunggu atlet bagi meredakan tekanan. Langkah itu juga bagi mengelak atlet terkena strok panas atau kepenatan melampau sepanjang tempoh sebulan musim panas ketika kejohanan itu berlangsung nanti. Setiap lokasi acara akan dipasang pagar setinggi 2.5 hingga 3 meter tinggi, selain pengesan infra merah serta kamera pemantauan sepanjang 24 jam. Juga penggunaan tiket palsu untuk memasuki lokasi acara akan disahkan menerusi penggunaan mesin khas, selain pemeriksaan rapi ke atas semua kenderaan. Olimpik Tokyo 2020 dijangka berlangsung antara 24 Julai hingga 9 Ogos, diikuti dengan Paralimpik bermula 25 Ogos hingga 6 September.