PETALING JAYA: Tempoh empat tahun menjadi misi penting buat Kelab Bolasepak Cheras Raptors (CRFC) yang baharu ditubuhkan Januari lalu. Kelab bola sepak yang bertapak di Cheras ini ditubuhkan dianggap sebagai batu loncatan dalam merancakkan lagi bola sepak tempatan di sekitar Cheras khasnya. Biarpun masih baharu, sasaran yang diletakkan ini amat realistik berdasarkan sambutan yang luar biasa selepas dilancarkan secara rasmi hujung bulan lalu. Pengerusi CRFC, Ayani Ismail berkata, sebagai kelab yang baharu ditubuhkan dengan dana yang sangat minima pihaknya harus bijak merancang, merencana dan tidak terburu-buru untuk membangunkan kelab. "Akademi hanya akan ditubuhkan apabila Cheras Raptors berjaya melahirkan jurulatih yang mampu membawa falsafah permainan kelab di peringkat akar umbi. "Selain itu, CRFC juga turut mensasarkan di masa akan datang CRFC bakal mempunyai gelanggang rasmi yang pastinya akan menjadi kebanggaan warga Cheras kelak," ujarnya selepas perasmian kelab Sabtu lalu. Pengerusi CRFC (topi biru) memberi taklimat kepada pemain pada majlis pelancaran kelab minggu lalu. Namun beliau mengakui memerlukan masa untuk mendapatkan hasil yang dimahukan. "CRFC akan bergerak selangkah demi selangkah dalam usaha mencapai semua sasaran yang ditetapkan. "Buat masa ini, CRFC fokus pada saingan KV League dan untuk program cuti sekolah yang akan datang, kita akan cuba menjayakan klinik bola sepak sehari bersama bekas pemain kebangsaan untuk anak-anak komuniti Cheras yang berminat dan seterusnya program jurulatih akar umbi. "Dalam pada itu, Setiausaha CRFC Nadzri Sazali berkata, kelab ditubuhkan dengan persiapan lengkap demi memastikan objektifnya tercapai. "Perjalanan untuk menjadikan CRFC sebagai kelab bola sepak yang stabil terbahagi kepada dua bahagian iaitu pelan jangka pendek serta pelan jangka panjang. “Sekiranya sebelum ini saya berjumpa dengan kesemua tujuh penaja yang kami ada pada hari ini, dan minta RM100 ribu setiap syarikat untuk pembangunan bolasepak Cheras, pastinya akan ditolak. Nadzri Sazali "Jadi kita mulakan satu persatu. Tahun ini, sebagai pelaksanaan untuk dibuktikan kepada penaja-penaja yang akan datang bahawa kami sememangnya serius mengenai penubuhan kelab ini. "Menyedari kos untuk mentadbir sebuah kelan bola sepak itu tinggi, maka CRFC memilih untuk tidak terburu-buru dalam menyertai liga-liga berstatus besar. "Berbekalkan wang penajaan daripada tujuh syarikat yang berjaya ditandatangani, CRFC memilih untuk beraksi dalam saingan KV Super League dalam musim pertama kelab beraksi dalam saingan liga. "Keputusan ini dibuat dengan harapan CRFC memperoleh peluang untuk mara ke saingan Selangor Champions League (SCL) pada tahun ini. "Malah, CRFC juga telah diiktiraf oleh pihak Selangor Youth Community (SAY) untuk beraksi dalam saingan liga sosial di Selangor," ujarnya dalam satu kenyataan kepada mStarOnline. Untuk rekod, CRFC ditubuhkan pada 7 Januari 2018 oleh sekumpulan anak muda yang mahu membina sebuah pasukan bola sepak komuniti yang berasal dari Cheras. Sehingga kini terdapat 25 orang pemain berdaftar bersama tiga jurulatih berpengalaman.