suria

Sukan Komanwel: Perasaan gemuruh jejaskan lompatan Hakimi

GOLD COAST: Perasaan gemuruh dan hilang keyakinan diri menjadi punca kemerosotan prestasi atlet negara, Muhammad Hakimi Ismail, untuk layak dalam kelompok lapan terbaik pada final acara lompat kijang lelaki di Sukan Komanwel, Sabtu.

Sikap terlalu berhati-hati oleh atlet Program Podium itu ‘memakan diri' apabila sekadar melakukan lompatan sejauh 15.97m pada percubaan ketiga untuk menduduki tangga kesembilan daripada 11 atlet layak ke final.

Pada percubaan pertama, beliau melakukan lompatan sejauh 15.77m dan percubaan keduannya dibatalkan kerana terpijak garisan penanda.

Selepas tiga lompatan, lapan atlet terbaik  akan mara ke pusingan penentuan pingat.Acara final itu dimenangi oleh atlet Guyana, Troy Doris dengan lompatan sejauh 16.88m, manakala pingat perak dan gangsa dimenangi masing-masing oleh atlet Domica, Yordanys Duranora Garcia (16.86m) dan Marcel Mayack II dari Cameroon dengan catatan 16.80m.

Khamis lepas, Hakimi merekodkan catatan 16.36m pada pusingan kelayakan.

“Hari ini bukan tuah saya. Saya terlalu berhati-hati,” kata pembawa Jalur Gemilang pada  temasya itu yang memilik rekod kebangsaan 16.76m yang dicipta  pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Menurut ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, prestasi buruk Hakimi disebabkan oleh beberapa kesilapan teknikal yang dilakukan oleh atlet berkenaan.-Bernama

Muhammad Hakimi, Sukan komanwel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain