GOLD COAST: Kuartet negara masih menunjukkan prestasi yang baik walaupun gagal mengutip sebarang pingat pada acara 4x100m lelaki di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia. Kuartet yang dibarisi Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan itu membuat catatan tahunan terbaik iaitu 39.37s untuk berakhir di kedudukan ketujuh daripada lapan kuartet, pada aksi di Carrara Sports and Leisure Centre, Sabtu. “Kita tidak boleh jangkakan kemenangan dalam acara ini, cukup sekadar boleh lakukan catatan masa lebih baik sudah bagus dan kami berjaya perbaiki catatan tahunan baharu buat kali kedua pada kejohanan ini. “Pencapaian okey tapi kami harap dapat betulkan lagi apa yang silap dalam pasukan ini. Macam dalam peringkat saringan semalam, silap kami adalah dari segi pertukaran baton tapi kali ini kami tidak pasti lagi,” kata Khairul Hafiz. Khairul Hafiz berkata analisis mengenai perlawanan hari ini akan dibincangkan bersama-sama jurulatih mereka iaitu Mohd Poad Md Kassim dan M. Balamurugan. Katanya, analisis tersebut akan digunakan untuk memastikan pasukannya tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali untuk aksi pada kejohanan seterusnya. Pingat emas acara itu menjadi milik kuartet England dengan catatan masa 38.13s diikuti Afrika Selatan (38.24s) dan Jamaica (38.35s), masing-masing meraih pingat perak dan gangsa. Kuartet lelaki negara mara ke pusingan akhir 4x100m selepas mencatat masa 39.39 saat dalam pusingan kelayakan, semalam. Catatan itu bagaimanapun gagal menyamai rekod kebangsaan yang dilakukan mereka di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 iaitu 39.27s.-Bernama