BEKAS kapten Chelsea Dennis Wise percaya Antonio Conte hanya menunggu masa untuk dipecat meskipun berjaya memacu anak buahnya bangkit mengatasi Southampton 3-2, malam Sabtu. The Blues nyaris berdepan kekalahan kali ke-10 dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas Jan Bednarek meledakkan gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-60. Southampton berada di depan seawal minit ke-21 menerusi jaringan Duaan Tadic. Namun Chelsea bangkit merapatkan jurang mata menerusi Oliver Giroud dan Eden Hazard sebelum Giroud melengkapkan gol kemenangan pasukan itu pada minit ke-78. Sebelum kemenangan saat akhir itu, kedudukan Conte diibarat sudah berada di hujung tanduk. "Dengan situasi itu, Conte melihat musimnya sudah berakhir dan mereka tidak melakukan apa yang sepatutnya. "Amat sedih melihat raut wajahnya, saya mahu melihat dia tersenyum lebar. "Ia kelihatan seperti dia hanya menunggu saat untuk dipecat. Dia sentiasa berkata akan cuba melakukan yang terbaik... dalam situasi ini kami cuba melakukannya untuk penyokong, tapi ia diluahkan dalam nada yang sama," kata Wise. Sementara itu, semasa sesi temubual sejurus selepas tamat perlawanan itu, Conte memuji corak permainan anak buahnya tetapi mempersoalkan semangat pemain pada babak pertama. "Kemenangan yang bagus tetapi apa yang penting adalah melihat semangat yang membara pada babak kedua. "Saya tidak tahu mengapa semangat tiada (babak pertama) tetapi jurulatih merupakan individu yang akan dipersalahkan. Itu tak jadi masalah asalkan kami menang 3-2 dan melihat pemain berjuang untuk kemenangan ini," katanya.