suria

"Ada pemain yang kereta dah kena tarik..." - Pengendali Kuantan FA

Pemain-pemain KUantan FA tidak menerima gaji sejak Disember lalu.

PETALING JAYA: Keputusan tidak muncul di padang adalah jalan terakhir yang diambil pemain-pemain Kuantan FA.

Pengendali Ismail Zakaria memberitahu dia tidak boleh memaksa pemain untuk meneruskan aksi mereka selepas tidak menerima gaji selama empat bulan.

"Ia bukan keputusan saat akhir, empat hari sebelum ini kami sudah berbincang, malah pihak pengurusan sendiri sudah diberitahu mengenai masalah pemain.

"Namun tidak ada apa-apa 'feedback'. Sekarang saya ada lebih kurang 14 pemain sahaja. Baki yang lain sudah tinggalkan pasukan atau balik kampung. Ini melibatkan periuk nasi mereka," ujarnya kepada mStar Online.


Jelas Ismail, setiap pemain turun ke padang bukan semata-mata untuk bermain, tetapi untuk menang.

"Banyak masalah yang kami hadapi. Macam mana pemain nak bermain dengan baik jika masalah ini berterusan?

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana tugas saya hanya di padang. Malah saya sendiri pun berdepan dengan masalah yang sama (gaji)," katanya.

Mengenai tindakan yang bakal diambil oleh Malaysia Footbal League (MFL), Ismail berkata dia menyerahkan pihak berkenaan membuat keputusan.

"Saya tidak tahu lagi hukuman apa, mungkin melibatkan persatuan sahaja. Buat masa sekarang saya masih berbincang dengan peguam apa yang harus dilakukan.

"Cuma sekarang ini saya kesiankan pemain-pemain. Sumber pencarian mereka terbantut. Ada yang kereta dah kena tarik. Nak tanggung keluarga, nak bayar rumah dan sebagainya," luah Ismail.

Pada Ahad, aksi Liga Premier yang berlangsung di Stadium Shah Alam antara PDRM dan Kuantan FA terpaksa dibatalkan kerana wakil Pantai Timur itu tidak hadir ke padang.

Dengan itu, PDRM diberi kemenangan percuma dengan keputusan 3-0.

Dalam pada itu, Sekretariat MFL akan memajukan perkara ini kepada Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam saingan 100PLUS Liga Premier Malaysia 2018 dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga akan memberi hukuman setimpal terhadap mereka.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan MFL berkata telah berlaku adil kepada pegawai dan pemain dengan membantu membayar gaji satu bulan melalui geran pasukan 2018 dengan harapan ia dapat memberi peluang kepada pengurusan pasukan untuk menyelesaikan masalah ini dan terus mengharungi liga.

"MFL telah menerima banyak jaminan di mana mereka akan menyelesaikan semua masalah mereka dengan penajaan baru yang akan masuk.

"Namun, ianya tetap gagal dan satu keputusan harus dimuktamadkan.

"Lembaga Pengarah MFL dan juga FAM sudah tentu memandang serius perkara ini dan satu hukuman yang setimpal pasti menyusul, bukan sahaja kepada pasukan, tetapi juga kepada individu-individu yang terlibat dengan memastikan mereka ini tidak terlibat lagi dalam bola sepak tempatan lagi," jelas kenyataan tersebut.

Kuantan FA

Artikel Lain