PENYERANG Paris Saint-Germain, Neymar yang mengalami kecederaan tetap mensasarkan tarikh 17 Mei untuk kembali berlatih dan berjanji akan bekerja lebih keras untuk menyediakan dirinya ke Piala Dunia di Rusia. Pemain termahal dunia itu melalui pembedahan kaki selepas cedera pada liga Perancis ketika menentang Olympique de Marseille, Februari lalu. Neymar mendapatkan rawatan di Brazil dan dia menjangkakan akan kembali berlatih dalam tempoh sebulan sebelum pasukan yang menjadi juara dunia lima kali itu melangsungkan perlawanan pembukaan menentang Switzerland pada 17 Jun. "Saya dapatkan pemeriksaan terakhir saya... jika tidak silap pada 17 Mei dan kemudian saya bebas untuk bermain. "Saya sudah jalani pemeriksaan pada minggu lalu, semuanya sempurna dan semakin baik. Jadi saya ia akan berterusan supaya saya dapat kembali dengan segera," katanya kepada pemberita pada sidang media di Sao Paolo, Brazil. Neymar berkata, dia menjalani rawatan setiap hari dan memaksa dirinya untuk bekerja keras demi mengejar impiannya beraksi pada Piala Dunia. Tambah pemain yang bermain untuk Brazil pada Piala Dunia 2014 itu, dia menunggu selama empat tahun bagi merebut peluang tersebut. - Reuters