suria

Piala FA: Selangor, PKNS ke separuh akhir

Pemain Selangor Saiful Ridzuwan Selamat (tengah) cuba mengawal bola sambil dihalang dua pemain Kuala Lumpur pada Suku Akhir Kedua Perlawanan Bola Sepak Piala FA Malaysia 2018 di Stadium Kuala Lumpur Cheras malam ini. Keputusan semasa Selangor 0-3 Kuala Lumpur.Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Selangor melangkah ke separuh akhir saingan Piala FA 2018 dengan menewaskan musuh tradisi, Kuala Lumpur 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Sabtu malam.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas Kuala Lumpur berjaya bangkit menyumbat tiga gol dalam waktu perlawanan sebenar untuk mengikat Selangor dengan agregat 3-3.

Pada penentuan sepakan penalti itu, penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid muncul wira pasukan selepas cemerlang menyelamatkan dua daripada sembilan sepakan penalti Kuala Lumpur yang salah satunya diambil kapten, Indra Putra Mahayuddin.

Kuala Lumpur yang turun tanpa jurulatih Fabio Joaquim Maciel da Silva akibat didenda daripada berada di kawasan teknikal, bermula garang dengan membuka jaringan seawal minit ke-14 menerusi Mohd Zaquan Adha Abd Radzak.

Jaringan pembukaan itu ternyata meniup semangat barisan pemain skuad ‘The Hawks' apabila terus mengasak kubu pertahanan lawan bagi memburu gol kedua sebelum ia hadir pada masa kecederaan babak pertama menerusi pemain import, Paulo Josue Sturmer Dos Reis.-

Gol ketiga Kuala Lumpur dijaringkan pemain pertahanan, Muhd Syazwan Andik Mohd Ishak pada minit ke-54.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor yang juga pemenang terbanyak dengan rekod lima edisi kejuaraan akan berdepan PKNS FC dalam aksi separuh akhir selepas skuad ‘Semut Merah' itu berjaya mengikat Perak 2-2 dalam satu lagi aksi suku akhir di Stadium Perak, Ipoh.

Keputusan itu menyaksikan PKNS FC layak secara agregat 4-3 selepas memenangi aksi suku akhir pertama 2-1 yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada 7 April lalu.

Beraksi dihadapan 21,000 penyokong, ‘The Bos Gaurus' dikejutkan dengan ketinggalan 2-0 hasil jaringan pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensive pada minit ke-54 diikuti jaringan penalti yang disudahkan K.Gurusamy sepuluh minit selepas Kenny Pallraj mengasari Muhammad Faris Ramli dalam kotak penalti.

Tersentak dengan dua jaringan itu, Perak bangkit merapatkan jurang menerusi kapten, Muhammad Nasir Basharuddin pada minit ke-72 dan 82, namun usaha mencari gol kemenangan menemui jalan buntu.-Bernama

Piala FA, Separuh akhir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain