KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy Antarabangsa El Gouna 2018 yang berlangsung di Mesir, awal pagi Isnin, setelah tewas kepada pemain India, Joshna Chinappa. Nicol yang berada di ranking kesembilan dunia, tewas kepada Joshna 11-8, 11-8, 11-8 dalam satu perlawanan straight set selama 32 minit pada pusingan kedua kejohanan itu. “Kecewa setelah tewas hari ini. Tahniah kepada @joshnachinappa15 kerana persembahan yang baik,” kata Nicol dalam catatan pada Instagram rasminya @nicoldsquash. Sementara itu, Joshna dalam laman blog www.elgounasquashblog.com berkata beliau turun ke gelanggang tanpa perancangan tertentu untuk berhadapan dengan juara dunia lapan kali itu dan hanya mendapatkan tidur malam dan makan yang cukup. “Saya tahu saya berhadapan pusingan pertama yang sukar, kemudian berhadapan Nicol sebelum suku akhir. "Jadi saya tiada tekanan dan saya hanya mahu bermain dengan bebas dan menikmatinya, Saya rasa saya bermain dengan baik, kebanyakan bola pukulan saya masuk tetapi saya hanya memikirkan satu mata pada satu masa," katanya. Joshna akan berhadapan dengan pemain pilihan nombor empat kejohanan dari England, Laura Massaro yang menang mudah ke atas Joey Chan dari Hong Kong, 11-8, 11-4 dan 11-9, dalam perlawanan suku akhir. - BERNAMA