PAUL Pogba enggan ambil pusing mengenai teka-teki masa depannya di Old Trafford. Pemain kebangsaan Perancis itu dikaitkan dengan pelbagai spekulasi sejak akhir-akhir ini selepas hubungannya dengan Jose Mourinho dilaporkan mulai dingin. Malah Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendakwa ejen Pogba, Mino Raiola menawarkan peluang kepadanya untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut. Pogba bagaimanapun mengakui tidak gembira di Old Trafford tetapi enggan memikirkan mengenai perpindahan ke kelab lain buat masa ini. "Ketika ini saya berada di Manchester United. Saya hanya fikir mengenai masa sekarang. Isu perpindahan tidak terlintas di fikiran saya," katanya. Ketika ditanya mengenai tawaran PSG, Pogba berkata:"Anda tahu jika saya dengar kepada sesiapa sahaja, saya akan berada di mana-mana sahaja." Hubungan Pogba dan Mourinho dilihat agak dingin sejak kebelakangan ini tetapi pemain tersebut mendakwa tiada masalah timbul antara mereka. "Saya tiada masalah dengan Mourinho. Saya juga fikir dia begitu. "Dia jurulatih saya, dia pastinya akan membuat pilihan dan saya sebagai pemain perlu menerimanya. Itu saja," kata Pogba.