KETUA Eksekutif Arsenal Ivan Gazidis mahu Mikel Arteta menggantikan Arsene Wenger. Wenger akan meninggalkan The Gunners pada musim panas ini selepas 22 tahun mengemudi pasukan tersebut. Pelbagai nama dikaitkan untuk mengisi posisi yang ditinggalkan pengendali dari Perancis itu dengan Arteta, Luis Enrique dan Patrick Vieira turut dalam senarai pendek. Namun menurut wartawan Sky Sports Aidan Maggee, Arteta yang menghabiskan masa selama lima tahun bersama Arsenal sebelum bersara pada 2016 menjadi pilihan utama Gazidis. "Dia lebih gemarkan Mikel Arteta, bekas kapten Arsenal sudah tentu sebagai pengganti Wenger. "Gazidis percaya Arteta berpotensi mengambil alih peranan tersebut. "Malah kita juga tahu hari ini Gazidis memberi taklimat kepada 200 kakitangan di Emirates dan menjelaskan betapa sukarnya mencari pengurus baharu Arsenal," katanya. Arteta, 36, kini bertugas seorang jurulatih di Manchester City.