PETALING JAYA: Kapten Mohd Badhri Mohd Radzi ternyata berkecil hati dengan layanan yang diterima pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Mohd Badhri atau lebih dikenali Piya hanya mendapat tahu mengenai khabar penyingkirannya baru-baru ini, membuatkan dia kabur dengan statusnya. "Kalau Kafa dan jurulatih tak nak saya, sepatutnya mereka panggil dan bincang. Bukannya memberi kenyataan di laman sosial atau akhbar. "Saya dan juga Apek (Khairul Fahmi Che Mat) 'blur'. Cara Kafa dan jurulatih buat ni tak betul. Tak profesional. "Tetapi kami sebagai pemain profesional kami tetap mengikut kontrak dan turun menjalani latihan seperti biasa. Malah jurulatih pun tidak beritahu apa-apa lagi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Artikel berkaitan: Beban hutang paksa TRW lepaskan Apek, Piya Piya yang masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim ini masih mencari jawapan punca sebenar mereka dilayan seperti ini. "Setiap sesi latihan saya dapat ikut dengan baik. Tak tahu, tak tahu apa. Sehingga sekarang saya masih menunggu untuk dipanggil dan diberitahu secara rasmi sama ada saya masih diperlukan atau tidak. "Kalau tak nak, cakap sahaja tak nak. Saya terima. Tetapi jangan buat macam ini. Awal musim sebelum ini, mereka tak mahu lepaskan kami ketika ada pasukan lain yang buat tawaran. "Tetapi sekarang timbul pula mahu lepaskan kami untuk mengurangkan beban hutang?. Saya harap akan ada tindakan yang lebih profesional selepas ini," jelasnya yang kini berusia 36 tahun. Tambah Piya, sebagai seorang pemain profesional dia menerima apa sahaja keputusan kerana faham asam garam dalam dunia bola sepak. Selain Piya, seorang lagi pemain senior yang disahkan akan turut dilepaskan Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan iaitu penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.