suria

Norza calon tunggal Presiden MOM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bakal mengambil alih kerusi utama Majlis Olimpik Malaysia  (MOM) selepas diumumkan sebagai calon utama pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan yang bakal berlangsung 5 Mei ini.

Mohamad Norza dicalonkan sebagai wakil tunggal bagi menggantikan pucuk pimpinan Tunku Imran Tuanku Jaa’far yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan yang dipegang sejak 20 tahun lalu.

Ini bermakna, Mohamad Norza bakal yang memegang jawatan timbalan presiden pada sesi 2015-2017 akan diumumkan secara rasmi sebagai presiden baharu MOM pada sesi pemilihan hujung minggu depan.

Pengumuman senarai pencalonan diumumkan oleh Pengerusi Panel Pemilihan MOM, Datuk Seri Jahaberdeen Mokamed Yunos sebaik sahaja tarikh  pencalonan ditutup petang Selasa.

Dalam pada itu, jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan persaingan dua nama di antara Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin yang kini naib presiden, manakala seorang lagi yang dicalonkan adalah Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Bagi jawatan naib presiden pula menyaksikan Datuk Dr Zakaria Ahmad, Datuk Ong Poh Eng dan Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar dicalonkan untuk mempertahankan jawatan ini diiringi dengan enam lagi calon bagi merebut lima kerusi bagi posisi ini.

Enam nama lain yang dicalonkan termasuk Datuk Nor Azmi Ahmad, Mahinda Vallipuram, Tan Sri Mohamad Mohd Noor Abdul Rahim, Profesor Datuk Dr Shamala Subramaniam, Nik Razeen Adam Daud dan Datuk Mohamad Taufik Omar.

Bagi jawatan setiausaha agung pula, Datuk Low Beng Choo bakal ditentang Datuk Mohd Nazifuddin Datuk Seri Mohd Najib yang sebelum ini memegang jawatan sebagai naib presiden.

Selain itu, kerusi penolong detiausaha agung (lelaki) bakal dipegang Chan Foong Keong dan Moira Tan Siew See (wanita) memandangkan hanya satu pencalonan bagi setiap kategori.

Jawatan bendahari juga menerima satu pencalonan sekaligus Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin akan mengambil alih tugas itu daripada Rosmanizam Abdullah.

Bagi jawatan penolong bendahari pula menjadi perebutan di antara Datuk Amarjit Singh dan Datuk Chong Kim Fatt. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain