KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki dan wanita Bawah-18 tahun negara berjaya menempah slot ke separuh akhir Kelayakan Asia Sukan Olimpik Remaja 2018 (5 Sebelah) selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing di Stadium Queen Sirikit, Bangkok, Thailand, Jumaat. Kejayaan skuad lelaki yang terlebih dahulu membelasah Pakistan 12-1 untuk kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi Kumpulan B, ternyata menyuntik semangat skuad wanita untuk turut cemerlang melangkah ke separuh akhir selepas mengatasi Jepun 4-3. Skuad lelaki kemudian menewaskan Singapura 7-1 pada aksi sebelah petang, untuk mengumpul mata penuh, sekali gus muncul juara kumpulan untuk bertemu Korea Selatan pada aksi separuh akhir pada Sabtu. “Gembira menang semua perlawanan, tetapi yang penting sekarang untuk tumpukan perhatian kepada perlawanan esok. Kalau menang kita akan layak ke final dan juga ke Sukan Olimpik Remaja. “Ini situasi sukar buat kedua-dua pasukan yang bakal memberi cabaran sengit untuk meraih kelayakan,” kata jurulatih skuad remaja lelaki negara, Wallace Tan dalam satu kenyataan. Skuad kendalian Wallace membuka saingan dengan membenam Kemboja 23-0, sebelum membelasah Taiwan 10-0 dan Bangladesh 7-4. Sementara itu, skuad wanita yang turun dengan misi wajib menang, dikejutkan dengan dua jaringan awal Jepun, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk kembali bangkit meledak empat gol untuk mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan A.Jurulatihnya, Yahya Atan berkata kejayaan itu hasil semangat tidak mudah menyerah kalah dan komitmen tinggi yang ditunjukkan anak buahnya, selain mahukan aksi lebih baik menentang India di separuh akhir. “India lawan yang bagus untuk kami temui pada aksi separuh akhir dan saya akan merencanakan strategi untuk mengekang mereka daripada bergerak bebas dan melancarkan serangan di bahagian tengah selain pemain perlu memahami strategi serta taktikal permainan esok. Sekiranya rezeki berpihak kepada kami, InsyaAllah kami akan melangkah ke final,” katanya. Skuad itu memulakan aksi dengan kemenangan besar 10-1 ke atas Hong Kong, sebelum dibelasah China 1-9, tetapi bangkit membelasah Taiwan 9-0. Hanya juara dan naib juara kategori lelaki dan wanita pada kejohanan berkenaan, akan layak ke Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina dari 6 hingga 18 Oktober ini. -Bernama