PETALING JAYA: Mohd Badhri Mohd Radzi yang berstatus kapten The Red Warriors (TRW) mendedahkan dia akan berusaha sendiri mencari pasukan lain selepas diketepikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Mohd Badhri atau Piya yang mempunyai baki kontrak sehingga November mengakui jalan terakhir yang perlu diambil demi masa kariernya. "Tiada apa-apa kata putus atau perbincangan lebih lanjut ketika perjumpaan bersama presiden (Bibi Ramjani Ilias Khan) petang Rabu lalu. "Walaupun ada perkara yang masih belum terjawab, saya terima sahaja. "Sebenarnya saya dah tawar hati selepas semua ini berlaku," ujar pemain tengah TRW itu ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Jelas Piya, memandangkan belum ada sebarang tanda-tanda tawaran daripada pasukan lain, dia sendiri yang akan mencari pasukan baharu. Artikel berkaitan: Kafa tak profesional - Piya "Saya akan tanya beberapa pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya.Mungkin Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan lain-lain. "Mengenai gaji yang mungkin dikatakan tinggi, semua itu boleh bincang. Benda boleh bincang kita bincang. "Namun sehingga itu, saya akan tetap turun latihan seperti biasa walaupun terasa diri memang tidak diperlukan lagi di padang. "Kontrak tetap kena ikut. Saya tidak mahu nanti timbul pula kata saya langgar kontrak atau tak ada disiplin," jelasnya pemain berusia 36 tahun ini. Sementara itu Piya mengakui inilah kali pertama kontroversi atau isu panas yang melibatkan dirinya bersama majikan. "Sebelum ini saya tidak pernah memberi komen atau kenyataan berkaitan dengan Kafa, tetapi kali ini berlainan. "Saya hanya mempertahankan hak saya sebagai pemain. Sebenarnya yang berlaku bukan perkara besar, kalau awal-awal lagi bersemuka saya yakin tidak akan jadi panas seperti ini," demikian jelasnya lagi.