JOSE Mourinho menegaskan dia tidak patut dipersalahkan kerana melepaskan Mohamed Salah dari Chelsea semasa mengendali The Blues sebelum ini. Salah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PFA selepas musim cemerlangnya bersama Liverpool apabila menjaring 43 gol dalam semua perlawanan musim ini. Susulan kejayaan Salah itu, Mourinho yang juga bekas jurulatihnya semasa di Stamford Bridge terus dikecam penyokong Chelsea kerana membenarkan pemain tersebut dan Kevin De Bruyne meninggalkan pasukan. Bagaimanapun Mourinho sebaliknya menyalahkan pihak pengurusan tertinggi Chelsea di atas kesilapan tersebut. "Ia bukan pertama kali saya katakan mengenai perkara ini tetapi ia satu lagi ketidakadilan yang disebut terhadap saya. Orang kata saya yang bertanggungjawab menjual Salah tetapi ia bertentangan. Saya sebenarnya yang membeli Salah. "Saya orang yang mengarahkan Chelsea supaya membeli Salah. Saya bertanggungjawab membawa masuk Salah ke Chelsea. "Namun dia datang sebagai pemain muda yang masih belum bersedia dari segi fizikal dan mental. Dia juga tidak dapat menyesuaikan diri dan segalanya sukar bagi Salah. "Kami memutuskan untuk meminjamkannya dan dia turut minta perkara itu dilakukan. Dia mahu bermain dengan lebih kerap, mahu lebih matang, jadi kami hantar dia secara pinjaman ke Fiorentina dan di sana dia mula matang. Chelsea membuat keputusan untuk menjualnya, OK? "Dan apabila mereka kata saya yang menjual Salah, ia satu pembohongan. Saya beli Salah. Saya setuju menghantarnya secara pinjaman, saya fikir ia satu keperluan, saya fikir Chelsea ada pemain sayap... beberapa pemain masih ada lagi seperti Willian, Eden Hazard dan semua pemain ini sudah ditahap berbeza. "Jadi keputusan meminjamkan Salah dibuat secara kolektif, namun selepas itu, keputusan menjualnya dan menggunakan wang itu untuk membeli pemain lain bukan dari saya," kata Mourinho.