suria

Seorang lagi menyusul selepas dua bakal dilepaskan Kafa

Gambar dari Bernama.

PETALING JAYA: Selepas Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Badri Mohd Radzi, dikhabarkan seorang lagi pemain senior The Red Warriors (TRW) akan menerima nasib sama dilepaskan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Menurut sumber, pemain berstatus import itu tidak tersenarai dalam skuad utama TRW bagi baki musim ini kerana gagal menghormati arahan ketua jurulatih Fajr Ibrahim.

"Sebagai pemain dia sepatutnya hormat arahan dan tunjuk ajar jurulatih tapi ini tidak berlaku.

“Jadi coach tidak mahukan pemain seperti itu dalam skuadnya,” kata sumber itu kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Apek dirisik dua kelab

Malah katanya lagi, Fajer sedia menggunakan khidmat pemain tempatan sekiranya pemain import yang ada gagal berbuat demikian.

Ketika ini Kelantan mempunyai empat pemain import iaitu Mohammed Ghaddar, Cassio de Jesus, Do Dong-hyun dan Mario Gomis.

Khairul Fahmi.

Pada Isnin lalu, Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek dan Mohd Badri atau Piya bahawa mereka tidak ada dalam perancangan jurulatih untuk baki musim ini.

Malah Bibi telah bertemu dengan kedua-dua ayam tambatan Kelantan itu bagi memaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Apek ketika dihubungi mStar Online mengesahkan dia akan angkat kaki apabila pintu perpindahan kedua dibuka pertengahan bulan depan.

Penjaga gol TRW itu berkata dia akur dengan keputusan Kafa yang sudah tidak lagi mahukan khidmatnya.

“Saya sah akan berhijrah. Perasaan saya bercampur baur, sedih kerana saya sudah lama bersama Kelantan apatah lagi pasukan ini sudah sebati dengan jiwa saya.

“Namun saya perlu berfikiran positif bahawa jodoh saya bersama Kelantan hanya sampai di sini sahaja tahun ini,” katanya.

Jelas Apek, dia ada menerima tawaran daripada dua kelab Liga Super.

“Sekarang ada dua offer. Apa-apa keputusan akan saya maklumkan kemudian bagi menjaga hati semua pihak,” katanya.

Selain Melaka United yang sudah menbuat tawaran rasmi, Kuala Lumpur sebelum ini pernah berhasrat mendapatkan khidmat Apek apabila pintu perpindahan kedua dibuka.

Dalam pada itu, Piya berkata dia akan berusaha sendiri mencari pasukan lain selepas diketepikan Kafa.

Pemain tengah berusia 36 tahun itu yang masih mempunyai baki kontrak sehingga November ini mengakui itu jalan terakhir yang perlu diambil demi masa depan kariernya.

Kafa

Artikel Berikut

Artikel Lain