KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan kedudukan selaku pendahulu liga setelah mengatasi Kelantan 2-1 pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Sabtu malam. Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengutip 18 mata setelah mengharungi tujuh perlawanan liga setakat ini. Pada aksi di Kota Bharu, pemain antarabangsa Lubnan, Mohammed Ghaddar meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-11 sebelum Safiq Rahim menyamakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-37 menerusi sepakan penalti. Natxo Insa memastikan tiga mata menjadi milik JDT setelah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82. Pahang kembali ke tangga kedua liga setelah menewaskan Melaka 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan pemain import dari Brazil, Patrick Dos Santos Cruz pada minit ke-71 dan Mohd Faisal Abdul Halim pada masa kecederaan babak kedua perlawanan. Dalam pada itu, Selangor kembali ke landasan kemenangan setelah menang tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Dua gol skuad Gergasi Merah dijaringkan oleh pemain import dari Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo pada minit ke-34 dan Sean Eugene pada minit ke-56 sebelum Negeri Sembilan merapatkan defisit jaringan menerusi N. Thanabalan pada minit ke-64. Dalam saingan Liga Premier, pasukan bawahan liga, Pulau Pinang kembali menghidupkan peluang untuk keluar daripada zon penyingkiran setelah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan Maxsius Musa terlebih dahulu meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-20 sebelum pasukan tuan rumah bangkit melakar dua jaringan menerusi Sanna Nyassi pada minit ke-75 dan Kang Seung-Jo hasil sepakan penalti pada penghujung babak perlawanan. UKM FC pula gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 3-3 ketika berdepan MIFA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Bernama