PETALING JAYA: Pemain badminton negara, Tan Chun Seang dan Zulfadli Zulkiffli masing-masing digantung daripada menyertai sebarang kejohanan selama 15 dan 20 tahun atas kesalahan mengatur perlawanan. Kedua-duanya juga dilarang menghadiri mana-mana majlis pentadbiran, latihan, perasmian dan pembangunan. Panel pendengaran BWF turut mendenda Tan sebanyak AS$15,000 (RM58,897) manakala Zulfadli AS$25,000 (RM98,162). Panel bebas itu mendapati kedua-dua pemain tersebut terlibat dalam kesalahan rasuah dalam tempoh penting membabitkan sejumlah besar kejohanan sejak 2013. Namun Zulfadli didapati melakukan lebih banyak kesalahan dalam tempoh yang lebih lama daripada Tan dan terbukti memanipulasi keputusan empat perlawanan. Tempoh penggantungan berkuatkuasa dari 12 Januari lalu, tarikh kedua-dua pemain itu digantung sementara oleh BWF. Tan dan Zulfadli mempunyai hak untuk merayu di bawah Klausa 14 Prosedur Kehakiman BWF.