DAVID De Gea berasa gembira dan bangga selepas memenangi anugerah 'Golden Glove' Liga Perdana buat pertama kalinya. Penjaga gol kelahiran Sepanyol itu berjaya mencatatkan rekod 18 perlawanan tanpa bolos pada kempen 2017/2018 selepas terikat seri 0-0 dengan West Ham, malam Khamis. Keputusan seri itu membolehkan De Gea mendahului pencabar utamanya yang juga penjaga gol Manchester City, Ederson. De Gea adalah penjaga gol pertama United yang menerima anugerah tersebut sejak kali terakhir dimenangi Edwin van der Sar pada 2009. "Ia 'Golden Glove' pertama saya, jadi saya amat gembira. "Ini bermakna saya mengawal pintu gol dengan baik, kami cukup sempurna, saya gembira untuk mereka dan juga pasukan. "Kami sebuah pasukan dan ini bagus untuk saya dan juga pasukan. Saya amat berbangga," katanya. Keputusan seri di Stadium London itu turut membantu United menduduki tempat kedua, ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu City. Di bawah Jose Mourinho, Red Devils menang 24 daripada 37 perlawanan musim ini. Pasukan itu akan bertemu Watford pada malam Ahad, perlawanan terakhir mereka musim ini. Mourinho mengesahkan De Gea akan direhatkan untuk perlawanan tersebut dan posisinya diisi Sergio Romero.