suria

Fajer berang TRW lepas gol mudah

FAJER Ibrahim berang dengan kesilapan pemainnya melepaskan dua gol mudah ketika Kelantan tewas 1-2 kepada PKNP FC dalam aksi Liga Super di Kota Bharu, malam kelmarin.

Tanpa berselindung jurulatih The Red Warriors itu mengakui sukar menerima kekalahan tersebut sambil meletakkan kegagalan pasukan di atas bahu anak buahnya.

“Saya fikir saya tidak akan bertanggungjawab di atas kesilapan individu. Dua gol pasukan lawan itu hasil kesilapan pemain, begitu mudah sekali mereka dapat menjaringkan gol.

“Terutama gol kedua itu, saya tidak percaya perkara seperti ini boleh berlaku hingga menyebabkan kita kalah, tetapi inilah bola sepak,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.

Pada aksi tersebut, salah faham antara bek import, Cassio de Jesus dan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh menyaksikan pasukannya dihukum jaringan kemenangan PKNP FC hasil sentuhan kapten, Muhamad Shahrel Fikri Md Fauzi, pada minit ke-83.

Sebelum itu, Kelantan ketinggalan 0-1 pada minit ke-61 menerusi jaringan Mohamad Hafiz Ramdan tetapi Mohammad Imran Samso berjaya menyamakan kedudukan, 13 minit kemudian.

Pengendali dari Syria itu memberitahu, kesilapan besar itu tidak seharusnya terjadi kerana pasukannya beraksi lebih baik dan menguasai sebahagian besar permainan berbanding pelawat.

“Anda boleh lihat kita menguasai perlawanan tetapi hasilnya tiada. Keputusan lebih penting, apabila anda bermain cantik anda akan mendapat keputusan baik tetapi malam ini (kelmarin) kita bermain bagus tapi keputusannya negatif,” katanya.

Walaupun kecewa namun jurulatih import dari Syria itu dilihat masih mempertahankan persembahan pemain sekalipun pasukannya kehilangan tiga mata penting dalam pertemuan tersebut.

“Kesilapan sama tetapi situasi berbeza kali ini. Memang saya marah tetapi ia telah berlaku dan kadang kala dalam bola sepak ada perkara lebih teruk daripada ini boleh berlaku.

“Saya kena perbetulkan kesilapan dann menyokong pemain, apa yang berlaku sudah berlaku dan saya kena terima keputusan akhir (kekalahan) ini,” katanya. - Sinar Online

Fajer Ibrahim, TRW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain