suria

'Griezmann jangan tinggalkan Atletico'

PENGURUS Atletico Madrid Diego Simeone memuji aksi cemerlang Antoine Griezmann selepas menjaringkan dua gol ketika pasukan itu menang 3-0 ke atas Olympique de Marseille pada aksi final Liga Europa, awal pagi Khamis.

Susulan itu, Simeone berusaha memujuk Griezmann untuk terus kekal bersama pasukan tersebut dan menolak tawaran Barcelona.

Kapten Atletico, Gabi menjaringkan gol ketiga sekali gus membolehkan pasukan itu menjulang trofi Liga Europa ketiga mereka sejak 2010.

"Hari ini Griezmann membuktikan apa yang dilakukannya tahun demi tahun. Dia sentiasa tegas ketika dalam perlawanan penting.

"Saya harap dia gembira bermain untuk pasukan. Dia beraksi dalam tiga final bersama kami dan memang dua daripadanya," kata Simeone.

Griezmann muncul penjaring terbanyak Atletico setiap musim sejak berhijrah dari Real Sociedad dengan bidaan sebanyak 25 juta euro pada 2014.

Pemain berusia 27 tahun itu yang dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan enggan membincangkan sama ada dia akan kekal atau meninggalkan Atletico pada hujung musim ini.

"Saya fikir sekarang bukan masa untuk bercakap mengenai masa depan saya. Saya hanya mahu berseronok bersama penyokong selepas kemenangan ini," katanya.

Artikel Sebelum

Tanglung 'Salah' laris

Artikel Berikut

Artikel Lain