MENAMATKAN aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan kelima nyata mengecewakan pengurus Chelsea, Antonio Conte. Namun Conte menegaskan dia sentiasa menjadi wira Chelsea seandainya The Blues menamatkan kempen musim ini dengan tewas kepada Manchester United pada aksi final Piala FA, awal pagi Ahad. Pengendali dari Itali itu menjulang trofi EPL pada musim pertamanya di Stamford Bridge sekaligus membolehkannya menerima tawaran baharu yang menyaksikan dia kekal sehingga Jun 2019. Bagaimanapun timbul spekulasi bahawa pemilik Chelsea, Roman Abramovic sedia mencari pengganti Conte pada musim panas ini. Jika itu berlaku, ini bermakna pertembungan di Wembley adalah penampilan terakhir Conte sebagai pengurus Chelsea. "Saya boleh kata ini adalah perlawanan terakhir saya musim ini. Bagi saya dan pemain ia aksi terakhir kami. Kemudian anda tahu saya ada kontrak dan saya sentiasa komited terhadap kelab. "Pada setiap musim anda perlu membahagikan tanggungjawab, positif atau negatif, dalam tiga bahagian: kelab, pengurus dan pemain. "Musim lalu kami menjadi wira. Musim ini saya tidak tahu apa tanggapan orang terhadap kami tetapi saya tidak peduli. Ia tidak mengapa. "Saya tidak pernah mengubah komitmen saya terhadap kelab. Komitmen saya sentiasa sama. Mungkin musim ini kami perlu berusaha keras berbanding musim lalu. "Saya tidak tahu jika sesuatu telah berubah. Kami adalah wira di mata penyokong Chelsea. "Namun di dalam jiwa dan hati saya, saya sentiasa seorang wira kerana telah memberikan 120 peratus, juga musim ini untuk menyelesaikan masalah," kata Conte. Pertembungan kali ini merupakan penampilan di pentas final yang kedua buat Chelsea dan juga Conte. The Blues tewas 1-2 kepada Arsenal setahun yang lalu dengan Conte menyifatkan kekalahan itu sebagai sesuatu yang pelik.